Bila kita perhatikan 5 ayat pertama Al Fatehah, kita dapat melihat
bagaimana didikan dan tarbiah Tuhan. Stail tarbiah Tuhan itu sebenarnya
ada dalam surah Al Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah
boleh faham, boleh hayati dan boleh applykan kepada pengikut, anak
buah, murd-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, berkat dari Tuhan akan
sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan .
Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Tuhan
mendidik manusia. Kalau ilmu ini dapat kita miliki, dapatlah kita
applykan dalam kita mendidik. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah
sangat cantik dan sistematik.
Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj
yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat,
sehinggalah yang sangat berat, sampailah matlamat yang Tuhan maksudkan.
Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana`budu...", banyak
ilmu pendidikan yang kita dapat. Tuhan mendidik manusia tidak secara
mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah
manusia. Sebab Tuhan jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak
sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud
atau dia militan dan agresif. Keduanya Tuhan tidak mahu kerana keduanya
bahaya. Sebab itu Tuhan mendidik secara bertahap.
Matlamat terakhir adalah bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mesti
manusia sembah hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak
kepada pengenalan dari didikan secara tadarruj tadi atau yang
beransur-ansur. Matlamat Tuhan ialah supaya orang akui Dia Tuhan dan
mesti sembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya,"Aku
Tuhan." Tetapi Tuhan perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit,
iaitu:
1. Tuhan kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir:
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Tuhan itu maha Pemurah dan
maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat
rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada 2
yang tersirat yakni :
a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira.
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Tuhan beri. Tidak ada saluran selain dari Tuhan. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.
Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam
dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang
Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun
`Bismillah...`, mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka
fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia
ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat
`Bismillah...`, mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat
itu datangnya dari Tuhan. Jadi dia terasa bahawa rupanya Tuhan itu baik.
2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Tuhan maka
Tuhan mengajak memuji Dia dengan ayat " Alhamdulillah...." Bagaimana
kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus
disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Tuhan?
Begitulah cantiknya cara Tuhan mendidik manusia.
3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh
dikongsi. Hanya untuk Allah. raja atau orang besar tidak boleh kongsi
pujian itu dengan Tuhan. Kalau kongsi dengan Tuhan, itu dosa yang
paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Tuhan, jadi layaklah Tuhan
sahaja yang boleh dipuji. Tuhan kenalkan diri Nya bahawa Dia, "Rabbul
`alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang
mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat
Tuhan ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patutu dipuji,
rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Tuhan itu. Bukan
sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.
4. Kemudian Tuhan perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanir rahim",
diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan.
Cara Tuhan beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara
kasih sayang . Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit
nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi atas nama
pemurah, itu secara istidraj. Tuhan beri banyak itu secara murka. Di
sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Tuhan itu
dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada
tanzir, ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat
nikmat Tuhan, dia tak akan lupa diri. Tuhan beri sedikit kepada orang
yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Tuhan kata," Buat
apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang Aku
sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia
tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Tuhan beri
atas dasar pemurah, kadang Tuhan beri banyak. Di situlah murka dan
laknat Tuhan. Di situlah istidraj.
5. Kemudian Tuhan kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan Tuhan
itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia
miliki Akhirat. Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu:
Kuasa mutlak itu di tangan Tuhan, tidak dikongsi langsung dengan
sesiapa. Tuhan hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang
hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di
sisi Tuhan. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan
bagi Tuhan, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap
nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan
sangat rugi.
6. Terasa lagi kebesaran Tuhan. Setelah Tuhan perkenalkan diri-Nya dari
ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Tuhan, maka barulah Tuhan
cakap bahawa hanya Dia yang disembah dan Dia tempat meminta
pertolongan. Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Tuhan sudah
lengkap, barulah Tuhan arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu
waiyyakanasta`in".
Cara yang Tuhan lakukan itu dalam mendidik manusia, Tuhan minta agar
manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah
Tuhan tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara
itulah yang Tuhan minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga
akhirnya manusia menyembah Tuhan. Itulah ilmunya, teorinya.
Luar biasanya Tuhan bila Tuhan pun telah tunjukkan realiti dari teori
ini atau bagaimana Tuhan aplikasikan teori ini, iaitu secara
realitinya, perintah sembahyang diturunkan setelah 11 tahun kerasulan.
Di peringkat awal, selama 11 tahun Tuhan turunkan ayat-ayat untuk
mengenalkan Tuhan. Kalau dari awal diperintahkan sembahyang, kita akan
ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Tuhan
cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan
teorinya. Nampak kebesaran Tuhan. Cantik sungguh didikan Tuhan. Tetapi
guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan
kenalkan Tuhan dahulu. Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat
diwajibkan.
Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Tuhan.
No comments:
Post a Comment