Friday, July 31, 2009

Halangan Dalam Perjuangan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
1-Halangan di dalam perjuangan menegakkan kebenaran mula-mula sekali
ialah nafsu dan syaitan, kemudian takut, selepas itu diuji dengan
kelaparan, dikuti dengan ujian kekurangan harta, kemudian diuji dengan
sedikit pengikut. Kalau Allah memberi kejayaan di dunia diuji pula
dengan nikmat yang melimpah ruah, Sayidina Umar menangis dengan yang
akhir ini. Kerana banyak umat Islam yang kecundang.

2- Di akhir zaman ini banyak perkara pelik di antaranya, ada orang
membuat kerja semata-mata untuk mencari nama sekalipun terancam nyawa,
dan tertinggal agama dan kemudian diagungkan pula oleh bangsa dan
negara sebagai wira seperti seorang dapat memanjat gunung yang tinggi
ada yang jatuh mati, seorang yang berenang merentas lautan, ada yang
dimakan ikan, seorang yang berlari beratus-ratus batu, ada yang cedera
parah. Di dalam Islam seorang wira itu ialah kerana kuat melawan
nafsu dia menjadi seorang yang berakhlak tinggi tapi orang pun tidak
peduli.

3- Banyak orang yang berjaya mengalahkan musuh yang ramai, menakluki
bangsa yang besar menawan negara yang luas tapi banyak orang yang
gagal mengalahkan nafsu dalam diri.

4- Kalau kita hendak tahu diri kita ini wira atau orang yang lemah
jiwa, cuba laksanakan yang nafsu tidak suka dan tinggalkan yang nafsu
suka, dengan kata-kata lain buat apa yang kita tidak suka, tinggalkan
apa yang kita suka.

5- Nilaian pandangan di antara mata, akal, nafsu, jiwa tidak sama.
Masing-masing ada ukuran yang tersendiri, tapi pandangan hati yang
bersih itulah yang benar dan hakiki

“MEMBENDUNG MUSIBAH WABAK SELSEMA BABI ”

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
31 JULAI 2009 / 09 SYAABAN 1430)

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa bagi memastikan kita tidak terjebak dengan perbuatan menderhaka kepada Allah dan menzalimi sesama manusia. Mudah-mudahan kehidupan kita terselamat daripada musibah dan tidak terkena kemurkaan Allah. Memandangkan musibah selsema babi atau H1N1 mula menyebabkan peningkatan kematian di negara ini, maka mimbar pada hari ini sekali lagi menekankan tentang tajuk: “Membendung Musibah Wabak Selsema Babi”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada 29 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah meletakkan wabak Selsema Babi kepada kedudukan tahap kelima (5). Kemudian pada 11 Jun 2009 Pertubuhan Kesihatan Dunia telah mengisytiharkan peningkatan amaran dari tahap 5 ke tahap 6 iaitu tahap di mana virus telah merebak secara berleluasa di beberapa negara, sukar untuk dikenalpasti rangkaian pemindahan wabak dari manusia ke manusia dan menandakan penularan berterusan tidak dapat dielakkan lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan Bilik Gerakan Pencegahan Penyakit Menular Kebangsaan semenjak 26 Jun 2009 bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negara. Sehingga 29 Julai 2009 sebanyak 1,124 kes berkaitan Selsema Babi dapat dikesan. Dari jumlah ini didapati sebanyak 574 kes adalah berpunca daripada luar negara dan 554 kes lagi berpunca dari dalam negara sendiri. Setakat ini 4 orang dilaporkan telah meninggal dunia di negara ini.

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Tanda-tanda utama selsema babi ialah apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit. Jika simptom ini berlaku dalam keluarga kita, maka kita hendaklah bersegera, serta merta bawa ke hospital.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tempat-tempat awam adalah tempat yang paling terdedah dan berisiko tinggi merebak dengan cepat wabak selsema babi. Dengan demikian semua kementerian, syarikat dan pertubuhan yang terlibat dengan perkhidmatan asas awam seperti polis, imigresen, kastam, hospital dan perkhidmatan kaunter perlu memastikan anggota barisan hadapan mereka sentiasa menjaga kebersihan yang baik untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan penyakit wabak yang cepat merebak ini. Apabila wabak bahaya ini dapat di kesan di sesuatu tempat atau di sesuatu kawasan, maka tindakan cepat perlu diambil.

Langkah yang paling berkesan diambil ialah menutup premis atau menjauhi kawasan yang dikenal pasti kawasan wabak. Tindakan yang diambil termasuklah tindakan menutup sekolah, institusi dan menjauhi majlis-majlis rapat umum dan perjumpaan awam. Kerjasama untuk bertindak pantas amat diperlukan daripada semua pihak yang terlibat jika wabak berkenaan dapat di kesan.

Bagi membendung wabak yang sedang merebak ini, maka Kementerian Kesihatan dan pihak hospital telah memberi peringatan kepada orang awam yang tidak sakit tidak digalakkan melawat hospital atau pusat kesihatan terutamanya membawa kanak-kanak yang berumur kurang 12 tahun, kecuali bagi tujuan rawatan. Langkah ini adalah bagi tujuan mengurangkan pendedahan atau risiko jangkitan kepada orang awam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Bencana dan musibah tidak putus-putus menimpa manusia. Berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW bahawa terdapat perkaitan kuat malapetaka dan musibah yang menimpa manusia berkait rapat dengan tabiat, tingkahlaku dan kelakuan buruk manusia sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41,
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat.”.

Berbagai cara kemurkaan Allah menimpa manusia. Ada kemurkaan yang hanya menimpa seorang manusia, satu keluarga, satu suku dan ada juga yang menimpa satu bangsa sehingga sesuatu bangsa itu pupus di muka bumi.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa semua malapetaka alam, yang sering terjadi di permukaan bumi ini, samada banjir, gempa bumi, taufan, kelaparan, kekurangan makanan, peperangan, penyakit-penyakit menular dan bala bencana yang lain adalah pembalasan kepada kejahatan dan kekufuran manusia. Bencana alam yang dahsyat dan kemunculan wabak-wabak penyakit yang luar biasa penularannya bukan berlaku secara kebetulan tetapi hakikatnya hukuman Allah supaya manusia insaf dan kembali menjadi manusia yang beriman dan soleh.

Oleh itu wahai jemaah sekalian mimbar menyeru marilah kita menjadi manusia yang beriman dan soleh. Adalah satu pembaziran hidup dan menjadi hidup paling rugi jika sebahagian besar hidup kita bergelumang dengan melakukan penderhakaan kepada Allah, melakukan kejahatan sesama manusia dan menjadi kuda tunggangan atau bersyubahat untuk menghapus pihak lain. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, sebagai renungan marilah kita hayati Firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 33:
Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau berada di antara mereka, dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar meminta ampun”

Friday, July 24, 2009

RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRAK MIKRAJ

RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRA’ MIKRAJ
(10 JULAI 2009 / 17 REJAB 1430

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan para jemaah sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: ’RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRAK MIKRAJ’

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Menurut sebahagian ulama, Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1:

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersih hati daripada ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin, Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT.
Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Salah satu pengajaran penting dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian kalbu ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji. Justeru dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati atau kalbu kita atau kalbu manusia. Setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Sabda Rasulullah SAW, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih, tetapi kedua ibubapanyalah yang akan menentukan nasib agama anaknya”.

Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam kalbunya. Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam kalbu manusia. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian kalbu telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi kalbu kita supaya kalbu kita terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?. Mimbar ingin mengingatkan bahawa ketahuilah kalbu kita adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Selari dengan sunnah Rasulullah SAW, maka dengan rasa tanggungjawab mimbar menyeru wahai jemaah sekalian, walaupun dalam keadaan sibuk sekalipun dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu untuk mengingati Allah SWT memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah SWT agar kalbu dan jiwa saudara dan jemaah sekalian menjadi kembali bersih.

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru marilah kita melipatgandakan penyucian diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, hají, melaksanakan ibadah sunat yang lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-‘Ankabut:45)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...