Saturday, August 22, 2009

“ RAMADHAN JALAN MENUJU TAQWA”
(21 OGOS 2009 / 30 SYAABAN 1430H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Bulan Ramadhan yang suci datang lagi, maka marilah kita bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan ini untuk membaiki dan meningkatkan prestasi akhlak supaya kita dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan puasa kita kali ini menjadikan kita insan yang bertaqwa. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “ Ramadhan Jalan Menuju Taqwa.”

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Setiap tahun Allah SWT memberikan kesempatan yang istimewa kepada hamba-hamba-Nya. Kesempatan itu hádala berkaitan fadhilat yang banyak dalam bulan suci Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan secara fitrahnya hati akan melonjak, roh akan bersinar dan bercahaya serta manusia siap untuk menjadi insan yang bertaqwa.

Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, manusia adalah produk dan makhluk ciptaan Allah. Sebagai manusia kadang kala kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai produk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan sebagai bulan khusus membersihkan dosa dan menerapkan nilai-nilai yang terpuji sebagai usaha kesinambungan membersihkan diri dan mengembalikan fitrah akhlak manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Selari dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, maka hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Dengan demikian wahai jemaah sekalian, marilah kita dengan niat yang tulus dan hati yang suci memohon dan berdoa agar Allah membimbing kita melakukan puasa dengan penuh agar mampu membentuk insan yang bertaqwa.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,

Untuk mencapai puasa Ramadhan yang berkualiti dan membentuk insan bertaqwa bukanlah perkara yang mudah, kita menghadapi cabaran dan ujian yang hebat. Menurut ulama’ ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa. Martabat pertama ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa. Martabat kedua pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum. Manakala martabat ketiga puasa pula adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati Allah. Ini adalah martabat tertinggi puasa. Sebagai tanda umat Islam yang hebat dan cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah menjadi matlamat kita. Oleh itu, puasa yang berkualiti tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.

Wahai jemaah sekalian, mereka yang memiliki ketinggian taqwa, tidak pernah membezakan antara bulan Ramadhan atau kesebelasan bulan yang lain untuk berubah. Apa yang nyata, roh Ramadhan dan ibadah-ibadah yang lain terus membimbing mereka menjadi insan soleh.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,

Sama ada kita sedar atau tidak, berpuasa telah menunjukkan betapa Islam dan mereka yang bertaqwa sentiasa menyeru umatnya supaya bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT. Pada masa sama, kita perlu insaf bahawa dalam limpahan nikmat yang kita perolehi siang dan malam itu, terselit hak-hak golongan tertentu seperti golongan fakir miskin dan dhaif.

Hakikatnya puasa yang melahirkan umat yang bertaqwa itu mempunyai ciri-ciri umat yang kuat, hebat, produktif, cemerlang dan berdaya saing. Justeru, di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sewajarnya kita merebut peluang ini untuk memastikan ketaqwaan kita terus meningkat dan mengelak diri dari binasa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan dosa.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,

Puasa Ramadhan adalah jalan menuju taqwa. Selari dengan matlamat ini mimbar menyeru, marilah kita sama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:

1. Renunglah bahawa rasa lapar, haus dan dahaga itu adalah gambaran kesusahan di hari kiamat.
2. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin dan kasihanilah anak-anak yatim.
3. Mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang mukmin.
4. Memperbanyakkan solat, berzikir kepada Allah SWT dan selawat ke atas nabi SAW.
5. Mengambil makanan yang berkhasiat dan halal serta tidak membazir.
6. Merasai di dalam hati perasaan takut dan mengharap rahmat Allah serta redha dengan ketentuan-Nya.
Hadirin yang dihormati sekalian,

Esok kita mula berpuasa dan malam ini kita mula bersolat terawih. Bersedialah kita untuk memasuki bulan yang mulia ini dengan penuh rasa gembira. Penuh harapan untuk mendapat keampunan dan keredhaan-Nya.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(An-Nahl:97)

Blog Bukit Marak Kelantan Darulnaim


Image Hosted by ImageShack.us



Klik sini http://bukitmarak.blogspot.com/



Sunday, August 16, 2009

“DI AMBANG RAMADHAN”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama membina dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan soleh dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah " Di Ambang Ramadhan”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di dalam al-Quran tidak menyebut bulan Muharram tetapi kita membuat sambutan meriah sambutan Maal Hijrah. Demikian juga dalam al-Quran tidak menyebut bulan Rabiul Awal tetapi umat Islam menyambut Maulidur Rasul dengan penuh kehebatan. Bagaimanapun Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadhan merupakan satu bulan mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan. Firman Allah swt dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185:
Maksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).."

Berdasarkan ayat ini maka jelas bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan yang perlu umat Islam mengejar mengambil kesempatan. Ketika mengulas kelebihan ini Rasulullah bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ فِيْهِ يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.
Mafhumnya: " Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berert telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”.(Hadis Riwayat Ahmad).

Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian,
Kadang kala terdapat di kalangan kita mengamalkan ibadah puasa berpuluh puluh tahun atau berbelas belas tahun tetapi tidak berupaya membentuk insan soleh. Mengenai perkara ini, Rasulullah SAW melalui sabdanya mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang mafhumnya:
"Terdapat umat Islam berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali sekadar lapar semata-mata. Betapa ramai orang bersolat malam tetapi tidak memperolehi apa-apa melainkan sekadar berjaga malam semata-mata.”

Persoalan besar timbul ialah mengapa kita berpuasa, bersolat dan mengamalkan ibadat yang lain tetapi tidak dapat memenuhi standard piawaian yang ditetapkan Allah dan hukum syarak. Berdasarkan pemerhatian mimbar, keadaan ini berlaku kerana ibadah itu dibuat tanpa ilmu, tidak membuat persiapan teliti dan dibuat sekadar ikut-ikutan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam usaha untuk menyambut Ramadhan 9 hari lagi, maka mimbar ingin mencadangkan sidang jumaat dan umat Islam sekalian mengambil langkah berikut:

Pertama: Membuat persediaan dari sudut ilmu. Kita perlu faham tentang selok belok hukum puasa, syarat-syarat sah dan batal puasa dan amalan-amalan yang dituntut dalam bulan Ramadhan seperti membaca al-Quran, adab-adab beriktikaf dalam masjid, qiyamullail, sedekah dan lain-lain ibadah. Pemahaman yang jelas tentang puasa akan memberi kesan yang mendalam kepada diri seseorang.

Kedua: Mulai sekarang kita hendaklah membuat persediaan mental dan rohani untuk menghadapi suasana Ramadhan yang secara intensif melatih umat-Nya mendekati Allah dan membentuk akhlak yang mulia.

Ketiga: Membuat persediaan dari segi fizikal atau tubuh badan bagi memastikan tahap kesihatan yang baik. Kesihatan yang baik akan menentukan kita boleh melaksanakan ibadah dengan sempurna. Oleh itu pastikan kualiti dan mutu makanan itu berzat, makan secara sederhana, persekitaran rumah yang bersih dan tidur yang cukup.

Keempat: Kita perlu berjimat cermat dan amalan ini akan membolehkan kita melaksanakan zakat dan memperbanyakkan sedekah kepada mereka yang memerlukannya.

Kelima: Ibu bapa bertanggungjawab membimbing dan menentukan ahli keluarga membuat persiapan teliti serta mewujudkan suasana keimanan seperti berjemaah solat fardu dan berjemaah tarawih di rumah atau di masjid.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai renungan jemaah dan umat Islam dalam mengukuhkan keimanan kepada Allah swt maka kita hayati firman Allah dalam surah al-Ankabuut ayat 58:
Maksudnya: " Dan orang-orang yang beriman serta beramal Soleh, kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh ".

Monday, August 10, 2009

“ KUASA PENGGUNA: SATU PENGGUNA, SATU SUARA ”

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

“ KUASA PENGGUNA: SATU PENGGUNA, SATU SUARA ”
(07 OGOS 2009 / 16 SYAABAN 1430)

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Pada hari Jumaat yang berkat ini marilah kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah- mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Sempena dengan sambutan Hari Pengguna Malaysia 2009 mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “ Kuasa Pengguna : Satu Pengguna, Satu Suara.”

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Islam mewajibkan umatnya bersaudara. Hidup saling membantu demi kebahagian bersama. Adalah berdosa dan berkelakuan zalim jika seorang muslim menyakiti dan menganiaya seorang muslim yang lain dalam apa bidang sekalipun terutamanya dalam urusan jual beli dan sewa menyewa. Islam telah menetapkan hukum syarak yang jelas dalam muamalat seperti urusan jual beli, pinjam meminjam, sewa menyewa, gadai menggadai dan sebagainya. Bagi menjaga kebajikan dan mewujudkan keharmonian di antara pengguna dan pengusaha. Selari dengan kehendak hukum syarak, maka Islam memang mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi dan penindasan seperti riba, judi, menipu dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t melalui surah Al-Mutaffiffin ayat 1-5:
Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?.Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).”

Namun apa yang mendukacitakan ialah berleluasanya kegiatan sesetengah pengusaha dan peniaga yang mengamalkan budaya berdosa menipu pengguna. Antaranya ada yang ditipu timbangan dan ukuran, ada yang diperdaya dengan harga yang dipropaganda harga murah tetapi sebenarnya mahal, ada yang ditipu dengan barangan tiruan dan ada yang terjebak dengan barangan dan perkhidmatan yang tidak halal dan ada juga yang terperangkap dengan janji palsu along dan skim cepat kaya. Dalam tahun 2008 kerajaan telah menerima sebanyak 10,720 aduan dengan pelbagai isu dan masalah yang menimpa pengguna. Ribuan aduan juga dilaporkan oleh persatuan-persatuan pengguna di seluruh negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kadang kala kita mengeluh dan marah apabila menyedari kita ditipu oleh peniaga. Sebagai pengguna atau pembeli, kita mempunyai hak yang perlu dipertahankan. Di antara hak-hak tersebut ialah pertama, mempastikan barangan kegunaan yang dibeli adalah suci dan halal. Kedua, mempastikan barangan dan perkhidmatan yang dibeli adalah tulen dan berkualiti. Ketiga, mempastikan harga yang dibayar adalah harga sebenar dan berpatutan.

Bagi mempastikan hak-hak kita sebagai pembeli dan pengguna dapat dilindungi, maka kita hendaklah menjadi pengguna yang bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, hala dan berkualiti. Sesungguhnya untung rugi nasib pembeli dan pengguna adalah terletak di tangan kita sendiri. Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati,


Dalam usaha mengaut keuntungan besar dan menjadi orang kaya cepat, maka terdapat peniaga menjadikan pembeli sebagai mangsa. Kita amat sedih jika mangsa itu adalah orang miskin dan kumpulan daif yang lain. Oleh itu, para pembeli dan pengguna perlu sedar bahawa sikap tidak kisah terhadap barangan dan perkhidmatan yang dibeli akan merugikan pengguna sendiri. Para pengguna akan terus menjadi mangsa eksploitasi peniaga yang rakus, terpaksa membayar lebih daripada harga sebenar atau mungkin mendapat barangan yang tidak berkualiti dan mungkin juga akan menggunakan barangan dan perkhidmatan yang tidak halal.

Justeru itu, mimbar menyeru marilah kita menjadi pengguna yang prihatin dan bijak dengan langkah-langkah berikut ;

Pertama : Setiap pengguna perlu mendapatkan maklumat dan
pengetahuan yang secukupnya mengenai barangan
dan perkhidmatan yang akan dibeli.
Kedua : Para pengguna perlu membuat pengaduan terhadap
peniaga-peniaga yang didapati menipu dan menindas
Ketiga : Para pengguna patut memilih premis perniagaan yang dipercayati amanah.
Keempat : Pihak berwajib hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pusat-pusat perniagaan secara integriti dan bertanggungjawab.

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? ( Surah al- Saf:10)

Saturday, August 01, 2009

LIMA PERKARA ANEH

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya." Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.

Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'. Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.

Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam. Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa.

Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini." Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah." Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari.

Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...