Thursday, April 22, 2010

Dengan Kalimah Tauhid

Syeikh al-Junaid bercerita:
Aku berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengenderai unta. Aku hadapkan unta itu ke arah Mekah, tetapi unta itu enggan mahu menuju ke arah itu, malah ia mengarah ke arah negeri Konstantin. Aku merasa hairan dengan kelakuannya. Kemudian aku mengarahkan unta itu sekali lagi ke arah Mekah, namun ia tetap mahu menuju ke arah Konstantin. Berkali-kali aku mengarahkannya untuk bergerak menuju ke Mekah. Namun, ia masih juga mahu bergerak ke arah Konstantin. Aku berkata dalam hatiku, "Ini tentu ada suatu rahsia, mengapa unta ini tetap mahu menuju ke arah Konstantin. Tiada siapa pun yang tahu selain Allah."

Aku pun melepaskan unta itu berjalan sendiri, sambil itu aku mengangkat tangan dan berdoa, "Ya Allah, Ya Tuhanku, aku tidak punya kuasa untuk menolak ketentuan yang Engkau kehendaki. Aku ingin menuju ke Kaabah, ke Rumah-Mu, tetapi Engkau tetap menghalang aku daripadanya, maka urusan itu ku serahkan kepada-Mu!" Aku biarkan unta itu berjalan sendirian menurut kehendaknya. Ia berjalan begitu cepat sehingga akhirnya aku tiba di Konstantin. Apabila aku masuk ke dalam kotanya, aku lihat orang-orang di sana sedang sibuk membincangkan sesuatu yang amat penting. Aku mendekati mereka seraya bertanya, "Mengapa kamu semua dalam keadaan begini? Puteri raja kami sedang sakit. Dia telah hilang akal dan raja kami menyuruh kami mencari tabib yang boleh menyembuhkannya," kata mereka.

Aku berkata kepada diriku. "Demi kebesaran Tuhanku! Kerana inilah agaknya, Tuhan memesongkan aku dari Rumah-Nya pada tahun ini untuk melakukan sesuatu di sini." Aku berkata kepada orang ramai yang sedang berkumpul di situ, "Aku ini tabib." Engkau boleh mengubati Puteri raja kami?" mereka bertanya. Boleh, insyaAllah," jawabku. Aku dibawa mereka ke istana dan dihadapkan kepada raja. "Katakan kepada tabib ini syarat-syaratnya!" titah raja itu. Mereka memberitahu aku syarat-syaratnya dan aku setuju dengan semua syarat-syarat itu. Aku memohon bantuan daripada Tuhan dan aku melangkah masuk ke dalam kamar yang sangat indah. Di sudut kamar itu ada sebuah kamar kecil yang tersorok daripada pandangan orang ramai. Dari situ aku mendengar gemerincingan bunyi rantai besi. Aku berhenti di hadapan kamar kecil itu. Tiba-tiba terdengar suara halus memanggilku, "Wahai Junaid! Untamu telah menarikmu ke mari, tetapi engkau mengarahkan unta itu ke Mekah!" Aku terkejut mendengar suara itu. Bagaimana dia tahu peristiwa yang berlaku kepada diriku?

Aku disuruh masuk ke dalam kamar kecil itu. Aku lihat seorang gadis sedang duduk di atas ranjang, sedang kedua-dua belah tangannya dirantai bersama kedua-dua belah kakinya. Gadis itu sungguh cantik rupanya. "Mengapa engkau jadi begini?" tanyaku terperanjat melihat keadaan gadis itu. "Wahai tabib! Ubatilah hatiku ini supaya aku terlepas daripada angkara mereka! pinta gadis itu. Ubatnya senang sahaja," kataku. "Apakah dia?" Sebutkanlah "Laa Ilaaha Illallaah Muhammadur Rasulullaah!" Gadis itu lalu mengucapkan dua kalimah syahadah itu dengan suara yang amat keras. Dengan sebab itu, berguguran segala rantai yang membelenggu dirinya. Apabila raja itu melihat apa yang berlaku, dia berasa sangat kagum. "Alangkah pintarnya engkau, wahai tabib!" ujar raja itu dengan rasa gembira. "Sekarang ubatilah hatiku pula seperti engkau ubati hati puteriku ini," dia meminta. "Boleh tuanku," kataku. Ucapkanlah "Laa Ilaaha Illallaah Muhammadur Rasulullaah! "Raja itu pun mengucapkan kalimah suci itu. Kemudian datang pula ibu gadis itu dan dia juga mengucapkan kalimah yang sama. Dengan sebab itu, seluruh rakyat negeri itu memeluk Islam, disebabkan rajanya telah memeluk Islam.

Beberapa hari kemudian, aku meminta izin untuk pergi dari situ. Tetapi aku telah ditahan oleh gadis itu. Dia berkata, "Janganlah berangkat dahulu, sebab aku telah memohon kepada Allah SWT untuk mewafatkan ku di waktu engkau masih ada di sini, supaya engkau dapat menguruskan jenazahku." Tidak berapa lama selepas itu si gadis tadi tiba-tiba rebah ke tanah. Allah memakbulkan pemohonannya. Aku segera menguruskan jenazahnya, dengan mengajarkan kepada penduduk di situ cara memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan serta mengkebumikan jenazah gadis itu. Moga-moga Allah SWT merahmati rohnya yang telah pergi.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan kita memperolehi ilmu dan pengajaran daripada kisah yang dikongsikan ini dan sentiasalah basahi bibir kita dengan selalu menyebut kalimah tauhid "Laa Ilaaha Illallaah Muhammadur Rasulullaah."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...