Tuesday, April 27, 2010

KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH ”.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Kepimpinan yang unggul dan berintegriti merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan dalam sesebuah organisasi. Kepakaran dan kemahiran dalam kepimpinan serta perwatakan peribadi boleh mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Keluhuran dan keperibadian itu juga dapat mencerminkan sikap dan perwatakan masyarakat atau rakyat yang dipimpinnya.
Islam amat menitikberatkan aspek kepimpinan yang memiliki kualiti nilai insan yang hebat dan boleh menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia ini. Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh Umat Islam malah disanjungi oleh ramai cendekiawan Barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sebuah negara dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. Beliau memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT sehingga masyarakat Arab menggelarnya al-Amin. Sabda Rasulullah SAW ;

Bermaksud:" Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”(Riwayat al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Kepimpinan amatlah penting bagi membentuk kehidupan yang sempurna. Maka lantaran itulah Allah SWT mengutus para rasul-Nya untuk mempimpin umat-umat terdahulu untuk menjadi manusia yang memiliki sifat-sifat yang menepati dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT mengutuskan para rasul-Nya untuk menjadi pemimpin kerana ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka boleh digunakan oleh pemimpin-pemimpin lain di sepanjang zaman. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 36 :

Bermaksud : " Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul ( dengan memerintahkannya menyeru mereka): " Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taaghut ". Maka di antara mereka ( yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan….."

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mempimpin sesebuah negara adalah suatu amanah yang diberikan oleh Allah SWT dan mereka yang diberi tanggungjawab ini perlu tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 72 :


Bermaksud :" Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

Memimpin golongan masyarakat pula adalah tanggungjawab bagi memenuhi keperluan mereka samada dari segi jasmani iaitu hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan kepimpinan yang cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepimpinan itu semestinya didokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia di mana ianya mampu mengadakan hubungan yang harmoni dengan semua peringkat masyarakat. Ciri-ciri kepimpinan ini akan memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi corak kepimpinan yang diberikan.
Di samping itu, kebijaksanaan dalam kepimpinan juga merupakan aset penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Antara kebijaksanaan yang dimaksudkan itu ialah kemampuan diri mengawal emosi pada semua situasi dengan tenang dan terkawal.
Kita melihat kepimpinan Khalifah Umar al- Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya di atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat. Ada suatu peristiwa di mana serombongan kafilah yang dalam perjalanan pulang ingin bermalam di pinggir kota Madinah dengan membawa barang dagangan yang banyak. Atas keperihatinan Khalifah Umar al- Khattab RA, beliau mengajak hartawan Abdul Rahman bin Auf untuk mengawal dan menjaga keselamatan barang dagangan rombongan kafilah tersebut daripada gangguan pencuri.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mimbar amat yakin, kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:

Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru seluruh pemimpin di pelbagai peringkat supaya mengambil langkah-langkah berikut :
Pertama:Bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita
menjadi manusia yang disayangi, dan dihormati.
Kedua: Hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang
yang dipimpin di dunia dan di akhirat.
Ketiga; Menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa
besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Firman Allah SWT dalam surah asy- Syu'araa' ayat 215-217:
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani

AMALAN MENJAGA TEPI KAIN ORANG

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “ AMALAN MENJAGA TEPI KAIN ORANG”

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf ( menyuruh melakukan kebaikan dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam. Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini. Andaikata aktiviti amar makruf dan nahi munkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharaja lela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak .

Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil kisah, tidak mengambil berat, dan tidak mengambil peduli perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat pertolongan dan bantuan daripada mereka yang berada di situ.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat di kalangan kita tidak mempedulikan dan melingah-lengahkan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar itu. Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang”, atau mangsa bukan keluarga kita, maka menyebabkan kita tidak mempedulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

Maksudnya “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).


Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Pada prinsipnya Pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang” bercanggah dengan tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain. Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya:

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya”( Riwayat: Muslim)

Berdasarkan peringatan Rasulullah ini maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian marilah melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketaqwaan kita. Selain daripada itu, “ amalan menjaga tepi kain orang” sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenalpasti orang-orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita.

Dalam keadaan beginilah maka amalan jaga tepi kain orang diguna pakai. Bagaimana pun amalan menjaga tepi kain orang yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah dengan prinsip amar makruf dan nahi munkar.

Justeru, para jemaah dan umat Islam sekalian jangan mudah cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak tingkah laku apa yang dilakukan anak itu. Jadi tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika terdapat jiran yang perihatin dan mengambil peduli menegur anak anak kita kerana memberi manfaat besar kepadanya.

Mimbar mengingatkaan bahawa budaya atau amalan nasihat-menasihati, tegur-menegur adalah unsur penting dalam “amalan menjaga tepi kain orang” kerana ia membawa kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-dzaariyat ayat 55:

Maksudnya; “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman”.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian
Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar RA. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa prihatinnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah SWT sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi keperihatinanya sangat tinggi.

Mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang prihatin dengan merasa bertanggungjawab diatas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita. Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama-sama memikul bebanan ini.Marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mimbar percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Oleh kerana itu maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah Taala agar pekerjaan amar makruf dan nahi munkar ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam.

Sebagai merumuskan khutbah pada hari yang mulia ini, maka sekali lagi mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa:
Pertama : Setiap orang wajib menjalankan aktiviti amar makruf dan nahi munkar kerana mewarisi amalan Rasul, para nabi dan orang soleh,
Kedua : Kita digolongkan sebagai manusia yang tidak beriman jika bersikap tidak mempedulikaan dan perihatin terhadap jiran tetangga yang jauh dan dekat,
Ketiga : Amalan menjaga tepi kain orang adalah sebahagian aktiviti amar makruf dan nahi munkar serta berupaya menyelamatkan nyawa dan akhlak manusia, dan
Keempat :Setiap kebaikan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 104

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya”

BERILAH PELUANG AKU HIDUP

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk " BERILAH PELUANG AKU HIDUP " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.
Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2009 sebanyak 79 kes berbanding 76 kes pada 2007 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2009 sebanyak 485 kes . Sebilangan besar suspek tergolong dalam kumpulan umur 18 hingga 25 tahun.
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Kepada kita dan remaja khasnya, mimbar ini ingin mengingatkan bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:

Maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .

Manakala firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93 pula ialah:
Maksudnya: " Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Thuur ayat 21:

Maksudnya: " Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.
Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:



Maksudnya: " Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .

Justeru itu, mimbar ini menyeru semua pihak di negara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut :

Pertama - Menjadi masyarakat yang prihatin dengan situasi yang berlaku di sekeliling kita;
Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;
Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;
Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dikawal;
Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;
Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;
Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing;
Kelapan- Masyarakat seterusnya tidak menghukum dan meminggir mereka yang tersilap malah memberi peluang kepada mereka kembali ke pangkal jalan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:

Maksudnya: " Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya " .

TANGGUNGJAWAB DAN KEWAJIPAN MEMBAYAR CUKAI

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dan di atas masjid yang suci ini, saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “ Tanggungjawab dan Kewajipan Membayar Cukai”.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Sesebuah negara pada lazimnya mempunyai sumber kekayaannya sendiri seperti bijih timah, petroleum, perhutanan, pertanian dan sebagainya bagi membiayai pembangunan negara dan menjaga kebajikan rakyat. Pada tahun 2010 bajet yang diperuntukan untuk pembangunan negara dan rakyat berjumlah RM191.5 bilion. Menurut Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji pungutan zakat pada tahun 2009 pula ialah sebanyak RM1.1 bilion. Menurut hukum Islam dan selari dengan prinsip siasah syariyyah, sesebuah negara mempunyai hak mewujudkan dasar cukai tertentu bagi menampung keperluan negara dan maslahah rakyat. Bagaimana pun dasar cukai itu hendaklah tidak membebankan rakyat jelata. Imam Abu Yusuf seorang ulama yang mahir dalam selok belok percukaian Islam menyatakan sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat. Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan dhaif dan miskin.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 177 :

Maksudnya:” Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.”.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah
Salah satu cukai yang diwajibkan pemerintah kepada rakyat jelata ialah cukai tanah samada tanah yang menjadi tapak rumah kita atau tanah yang menjadi sumber pendapatan kita. Berdasarkan laporan Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan sehingga November 2009, negara mengalami tunggakan bayaran cukai tanah sebanyak RM 1.022 bilion. Pendedahan ini sewajarnya memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita mengenai pengurusan hal ehwal perbelanjaan keluarga kita. Apa yang merisaukan kita juga kadangkala timbunan hutang piutang telah menyekat peluang kita membayar zakat sebagai usaha membersihkan harta kita. Tunggakan hutang ini akan terus meningkat jika mereka yang terlibat berterusan menangguhkan membayar hutang. Bayangkan berapa banyak kerajaan kehilangan pendapatan akibat daripada budaya melengah-lengahkan bayaran cukai. Kesan buruknya banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.
Sekiranya cukai dijelaskan, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk menyedia pelbagai keperluan asas kepada seluruh warganegara. Selain itu, hasil cukai juga boleh membantu golongan yang ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah SWT.
Adalah menjadi tanggungjawab semua warganegara berusaha membayar zakat dan cukai bagi membantu meningkatkan kesejahteraan negara dan masyarakat. Ketahuilah bahawa tidak membayar zakat dan cukai adalah satu bentuk hutang dan yang mesti dijelaskan. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu, masyarakat dan Kerajaan. Rakyat akan merana dan negara akan hancur disebabkan golongan yang cuai membayar hutang. Mereka yang berhutang tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.”


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Pada dasarnya isu hutang berkait rapat dengan sikap amanah dan kebijaksanaan kita menguruskan perbelanjaan. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 283:


Maksudnya: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.”

Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap individu muslim wajib melaksanakan amanah, bersifat jujur dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan keluarga agar kita berkeupayaan menunaikan tanggungjawab seperti berzakat dan membayar hutang. Kebijaksanaan kita menunaikan tanggungjawab ini adalah sifat terpuji, mulia dan simbul orang yang beriman.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Selari dengan tanggungjawab ulama, maka mimbar menyeru semua pihak, marilah kita mengubah gaya hidup dengan bersegera membayar apa jua bentuk hutang-puitang termasuk cukai tanah, cukai pintu dan sebagainya kerana dengan ini kita dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat dan negara.
Mengakhiri khutbah, mimbar berpesan marilah sama-sama kita merebut peluang meningkatkan ketakwaan dengan menunaikan zakat dan bebaskan diri kita dengan bebenan timbunan hutang dengan bersegera membayar hutang mudaha-mudahan kehidupan kita mencapai nikmat ketenangan serta keredhaan Allah SWT Selagi hutang tidak dibayar samada yang berkaitan hak Allah dan hak manusia, maka kehidupan anak-anak dan keluarga kita juga turut mengalami tekanan hidup yang berterusan.

Maksudnya : Dan orang yang bakhil dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Serta ia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapatkan kesusahan dan kesengsaraan.(surah Al-Lail ayat 8-10)

Thursday, April 22, 2010

Dengan Kalimah Tauhid

Syeikh al-Junaid bercerita:
Aku berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengenderai unta. Aku hadapkan unta itu ke arah Mekah, tetapi unta itu enggan mahu menuju ke arah itu, malah ia mengarah ke arah negeri Konstantin. Aku merasa hairan dengan kelakuannya. Kemudian aku mengarahkan unta itu sekali lagi ke arah Mekah, namun ia tetap mahu menuju ke arah Konstantin. Berkali-kali aku mengarahkannya untuk bergerak menuju ke Mekah. Namun, ia masih juga mahu bergerak ke arah Konstantin. Aku berkata dalam hatiku, "Ini tentu ada suatu rahsia, mengapa unta ini tetap mahu menuju ke arah Konstantin. Tiada siapa pun yang tahu selain Allah."

Aku pun melepaskan unta itu berjalan sendiri, sambil itu aku mengangkat tangan dan berdoa, "Ya Allah, Ya Tuhanku, aku tidak punya kuasa untuk menolak ketentuan yang Engkau kehendaki. Aku ingin menuju ke Kaabah, ke Rumah-Mu, tetapi Engkau tetap menghalang aku daripadanya, maka urusan itu ku serahkan kepada-Mu!" Aku biarkan unta itu berjalan sendirian menurut kehendaknya. Ia berjalan begitu cepat sehingga akhirnya aku tiba di Konstantin. Apabila aku masuk ke dalam kotanya, aku lihat orang-orang di sana sedang sibuk membincangkan sesuatu yang amat penting. Aku mendekati mereka seraya bertanya, "Mengapa kamu semua dalam keadaan begini? Puteri raja kami sedang sakit. Dia telah hilang akal dan raja kami menyuruh kami mencari tabib yang boleh menyembuhkannya," kata mereka.

Aku berkata kepada diriku. "Demi kebesaran Tuhanku! Kerana inilah agaknya, Tuhan memesongkan aku dari Rumah-Nya pada tahun ini untuk melakukan sesuatu di sini." Aku berkata kepada orang ramai yang sedang berkumpul di situ, "Aku ini tabib." Engkau boleh mengubati Puteri raja kami?" mereka bertanya. Boleh, insyaAllah," jawabku. Aku dibawa mereka ke istana dan dihadapkan kepada raja. "Katakan kepada tabib ini syarat-syaratnya!" titah raja itu. Mereka memberitahu aku syarat-syaratnya dan aku setuju dengan semua syarat-syarat itu. Aku memohon bantuan daripada Tuhan dan aku melangkah masuk ke dalam kamar yang sangat indah. Di sudut kamar itu ada sebuah kamar kecil yang tersorok daripada pandangan orang ramai. Dari situ aku mendengar gemerincingan bunyi rantai besi. Aku berhenti di hadapan kamar kecil itu. Tiba-tiba terdengar suara halus memanggilku, "Wahai Junaid! Untamu telah menarikmu ke mari, tetapi engkau mengarahkan unta itu ke Mekah!" Aku terkejut mendengar suara itu. Bagaimana dia tahu peristiwa yang berlaku kepada diriku?

Aku disuruh masuk ke dalam kamar kecil itu. Aku lihat seorang gadis sedang duduk di atas ranjang, sedang kedua-dua belah tangannya dirantai bersama kedua-dua belah kakinya. Gadis itu sungguh cantik rupanya. "Mengapa engkau jadi begini?" tanyaku terperanjat melihat keadaan gadis itu. "Wahai tabib! Ubatilah hatiku ini supaya aku terlepas daripada angkara mereka! pinta gadis itu. Ubatnya senang sahaja," kataku. "Apakah dia?" Sebutkanlah "Laa Ilaaha Illallaah Muhammadur Rasulullaah!" Gadis itu lalu mengucapkan dua kalimah syahadah itu dengan suara yang amat keras. Dengan sebab itu, berguguran segala rantai yang membelenggu dirinya. Apabila raja itu melihat apa yang berlaku, dia berasa sangat kagum. "Alangkah pintarnya engkau, wahai tabib!" ujar raja itu dengan rasa gembira. "Sekarang ubatilah hatiku pula seperti engkau ubati hati puteriku ini," dia meminta. "Boleh tuanku," kataku. Ucapkanlah "Laa Ilaaha Illallaah Muhammadur Rasulullaah! "Raja itu pun mengucapkan kalimah suci itu. Kemudian datang pula ibu gadis itu dan dia juga mengucapkan kalimah yang sama. Dengan sebab itu, seluruh rakyat negeri itu memeluk Islam, disebabkan rajanya telah memeluk Islam.

Beberapa hari kemudian, aku meminta izin untuk pergi dari situ. Tetapi aku telah ditahan oleh gadis itu. Dia berkata, "Janganlah berangkat dahulu, sebab aku telah memohon kepada Allah SWT untuk mewafatkan ku di waktu engkau masih ada di sini, supaya engkau dapat menguruskan jenazahku." Tidak berapa lama selepas itu si gadis tadi tiba-tiba rebah ke tanah. Allah memakbulkan pemohonannya. Aku segera menguruskan jenazahnya, dengan mengajarkan kepada penduduk di situ cara memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan serta mengkebumikan jenazah gadis itu. Moga-moga Allah SWT merahmati rohnya yang telah pergi.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan kita memperolehi ilmu dan pengajaran daripada kisah yang dikongsikan ini dan sentiasalah basahi bibir kita dengan selalu menyebut kalimah tauhid "Laa Ilaaha Illallaah Muhammadur Rasulullaah."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...