Wednesday, November 20, 2013
Nur Salina Abdullah, 18, Mualaf Maut Didera
KUAH - Seorang remaja mualaf yang koma dipercayai akibat didera disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi, jam 8.40 malam semalam.
Mangsa, Nur Salina Abdullah, 18, sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi pada Ahad lalu selepas tidak sedarkan diri.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Shamsul Nawi berkata, ketika mendapatkan rawatan, doktor menemui pelbagai kesan lebam di keseluruhan bahagian tubuh mangsa.
Menurutnya, pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis kerana kesan kecederaan yang dialami dipercayai akibat penderaan.
"Bertindak atas laporan yang dibuat, polis menahan reman pasangan suami isteri yang juga keluarga angkat mangsa.
"Berdasarkan siasatan awal, keluarga ini dikatakan berpindah ke Langkawi sejak setahun lalu dan mengusahakan perniagaan makanan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Shamsul berkata, sehingga jam 10 malam tadi, bedah siasat masih lagi dijalankan oleh pihak hospital.
“Pemeriksaan memerlukan masa untuk melihat pelbagai aspek yang menyebabkan kematian mangsa.
“Setelah selesai bedah siasat, pihak kami akan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi untuk urusan pengebumian mangsa, ini adalah atas permintaan ayahnya yang mahukan yang terbaik bagi anaknya,” katanya.
Menurutnya, suspek yang ditahan reman adalah majikan kepada mangsa iaitu sepasang suami isteri dan dua orang turut ditahan iaitu anak mereka yang berumur 16 dan 21 tahun untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Nai Koi See, 42, menyerah kepada pihak berkuasa untuk menguruskan jenazah anaknya.
Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu dua tahun lalu ketika selesai mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Anak saya yang nama asalnya Nai Ah Nung (Nur Salina) tinggal bersama ibu saya sejak berumur enam tahun sehinggalah dia mengikut jiran kami ke Pulau Pangkor, Perak.
"Saya ada cuba menghubungi dia awal tahun ini untuk bertanya khabar menerusi telefon tetapi tidak berjawab,” katanya.
Koi See berkata, dia dimaklumkan anak bongsu daripada dua beradik itu memeluk agama Islam Januari lalu selepas tinggal bersama keluarga angkatnya kira-kira dua tahun.
Menurutnya, dia sering teringat kepada anaknya itu namun tidak menganggapnya sesuatu yang pelik dan tidak menyangka ia adalah petanda bakal kehilangan anaknya.
"Saya menerima segala kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menguruskan jenazahnya secara Islam,” katanya.
Katanya, keluarganya cukup mengenali pasangan yang menjadi keluarga angkat anaknya itu dan tidak menyangka hal ini akan terjadi.
Mualaf maut didera - Utara - Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment