Nabi Khidir sememangnya memiliki Ilmu Ladunni.Kewujudan Nabi Khidir(istilah sebenarnya Nabi Khaidir) adalah sahih dan ceritanya disebut dan di dalam Al-quran dalam Surah Al-kahfi ayat 65 hingga ayat 82. Nama sebenarnya ialah Balya bin Malkaan yang tekenal dengan gelaran Nabi Khaidir atau Khadri. Salah satu sebab mengapa beliau digelarkan Al-khadri yang bermaksud hijau kerana ketika Nabi Musa a.s bertemunya buat kali pertama, Balya bin Malkaan berpakaian berwarna hijau. Imam Bukhari meriwayatkan hadis yang bermaksud :
“Nabi Musa a.s dengan pembantunya bernama Yusha bin Nun bin Abraeen bin Yusof a.s telah bertemu dengan Khaidir di satu tempat di tepi laut yang sedang berselimut menutupi seluruh badannya dengan kain hijau”. Namun ada juga pendapat mengatakan bahawa gelarannya adalah sempena nama kampungnya yang bernama Khaidarah. Mujahid pula mengatakan, beliar digelar Al-khaidir kerana ketika beliau bersembahyang, kawasan sekitarnya kelihatan berwarna hijau. Terdapat dakwaan yang mengatakan Nabi Khaidir masih hidup sehingga sekarang dan ini adalah tidak benar, kerana Nabi Muhammad adalah nabi akhir zaman, maka mustahil masih ada nabi yang hidup selepasnya.
Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad); Maka Jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal? (Al Anbiya : 34)
Kaitan Nabi Hhaidir dengan Ilmu ladunni disebut dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Al-kahfi ayat ke-65 :
"Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba kami, yang Telah kami berikan kepadanya rahmat dari sisi kami, dan yang Telah kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.."
Daripada Istilah mil ladunna ‘ilma timbulnya istilah al-‘ilmu al-ladunniyy (العلم اللدني). Seorang hamba di dalam ayat ini mengisahkan bahawa Nabi Musa a.s mengetahui ada seorang hamba Allah s.w.t yang dianugerahkan ilmu khusus dari Allah (Ilmu Ladunni) tanpa sebarang perantaraan dan hamba tersebut menurut ahli tafsir ialah Balya bin Malkaan atau digelar Nabi Khaidir.
Dikisahkan adalam Al-quran bahawa Nabi Musa a.s ingin berjumpa Nabi Khaidir untuk mempelajari ilmu tersebut, namun Nabi Khaidir menegaskan “kamu tidak boleh belajar kerana kamu tidak sabar”. Nabi Musa a.s menyatakan kepada Nabi Khaidir bahawa beliau akan bersabar walau apa jua keadaan, namun kesabarannya tidak sampai kepada tahap yang dimaksudkan Nabi Khaidir. Lalu keduanya berpisah dan Nabi Musa tidak dapat mempelajari Ilmu Ladunni.
Ini menunjukkan, seorang Rasul yang diizinkan Allah s.w.t. untuk bercakap denganNya pun tidak mampu untuk mendapatkan ilmu tersebut walhal Nabi Musa adalah seorang nabi dan pastinya penyabar. Nyatalah, bahawa Ilmu Ladunni adalah satu anugerah Allah s.w.t yang diberikan kepada golongan hambaNya yang paling takut padaNya, tawadhuk dan sayang dengan imunya kerana bimbang Allah s.w.t akan menarik balik daripadanya. Maka mereka yang memiliki ilmu ini sudah tentu tidak akan mendakwa bahawa mereka memiliki ilmu ini atau dengan mudah mengajarkannya kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment