Thursday, March 18, 2010

TANGGUNGJAWAB MELINDUNGI WANITA MENURUT ISLAM

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang, mudah-mudahan kita akan mendapat rahmat serta kasih sayang Allah SWT. Tajuk khutbah pada hari ini ialah
“ Tanggungjawab Melindungi Wanita Menurut Islam”.

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Islam telah meletakkan kaum wanita di tempat yang sewajarnya. Tentu kita pernah mendengar kisah orang arab di zaman Jahiliah yang telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup sama ada sebaik sahaja anak perempuan tersebut lahir ataupun telah meningkat ke usia remaja. Ini kerana mereka menganggap anak perempuan akan membawa malu serta aib kepada keluarga. Dalam hal ini Allah SWT ada menyebutkan dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya, sedang ia sangat marah. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya; adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.”

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini, negara kita dikejutkan dengan beberapa insiden yang menakutkan malah mengerikan kita semua terutama sekali yang melibatkan anak-anak gadis dan kaum wanita khususnya. Melalui akhbar-akhbar kita dipaparkan dengan peristiwa- peristiwa yang begitu menyayat hati yang telah berlaku kepada kaum wanita seperti pembunuhan, penderaan, pelacuran, perkosaan dan sebagainya. Perkara ini adalah merupakan masalah yang berat dan tidak boleh dipandang dengan sebelah mata atau sekadar hanya melafazkan kata-kata ‘ kasihan’ di bibir terhadap peristiwa malang yang menimpa kaum wanita itu.

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Allah menjadikan segala makhluk di alam ini dalam keadaan berpasangan. Di antaranya termasuklah di dalam penciptaan manusia di mana Allah SWT menjadikan kaum wanita sebagai pasangan untuk lelaki. Dari segi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, Allah SWT tidak membezakan antara lelaki dan wanita dalam hal memberi ganjaran ataupun pahala dalam setiap amal salih yang dilakukan. Pada sisi Allah, lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama dalam mengatur kehidupan yang sempurna di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97:

Maksudnya:“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Kaum lelaki merupakan ketua yang diamanahkan supaya melindungi kaum wanita. Tanggungjawab ini adalah seiring dengan beberapa kelebihan dan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah. Sehubungan itu, kaum lelaki hendaklah sentiasa berusaha memahami keperluan dan kehendak wanita. Allah SWT telah berpesan kepada kaum lelaki bahawa mereka adalah pemimpin kepada kaum wanita .

Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 34:

Maksudnya: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka.”


Jelaslah bahawa, menjadi tanggungjawab kaum lelaki dalam memberi perhatian ke atas nasib kaum wanita sepanjang masa terutamanya apabila mereka dihina atau dianiaya. Sejarah telah membuktikan bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Pengutusan baginda sebagai Nabi dan Rasul, bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan sekaligus berjaya meletakkan kaum wanita kesatu taraf yang lebih mulia, berbanding nasib mereka dalam era jahiliah. Dalam hal ini, baginda Rasulullah SAW pernah bersabda Riwayat Termizi:

Mafhumnya: “ Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku” .

Sesungguhnya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW telah terbukti berjaya mengubah nasib golongan wanita di seluruh dunia, dari lembah kehinaan dan diskriminasi, lalu diangkat kekedudukannya yang mulia dan terhormat.

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Walaupun Islam telah memuliakan kaum wanita, masih terdapat kecenderungan sesetengah pihak yang meremehkan wanita sehingga menjadi mangsa diskriminasi. Pandangan dan suara hati wanita tidak diberi perhatian. Bahkan kalaupun dilayan, layanan diberi secara acuh tidak acuh sahaja. Malah, pendapat kaum wanita yang menyentuh kepentingan diri mereka sendiri ada kalanya tidak dipandang serius. Sikap seumpama ini boleh mendedahkan kaum wanita kepada tindakan dan layanan yang tidak adil. Cuba bayangkan jika sekiranya orang yang menjadi mangsa diskriminasi adalah ibu kita sendiri atau bayangkan perasaan seorang lelaki jika yang menjadi mangsa kezaliman terkena ke atas isteri, anak perempuan atau saudaranya sendiri.

Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Kita dapati masih terdapat eksploitasi kaum lelaki ke atas kaum wanita. Tentu kita merasa sedih mendengar berita wanita diperkosa, didera dan dizalimi dengan pelbagai bentuk tekanan psikologi. Selain itu, terdapat kaum wanita sendiri yang merelakan diri di eksploitasi dan menjadi bahan iklan murahan, akibatnya, semakin ghairah lelaki yang buas mengambil kesempatan dan tidak menghormati nilai seorang wanita. Oleh itu, bagi memelihara taraf kaum wanita, perubahan sikap perlu bermula dari kaum lelaki yang menjadi pemelihara dan pelindung kaum wanita. Sementara kaum wanita sendiri perlu menghargai diri sendiri dan bangun menyatakan hak mereka dengan menyayangi dan menghormati kaum lelaki yang sentiasa melindungi mereka.

Kita yakin bahawa, hanya orang yang benar-benar beriman sahaja mampu memikul amanah ini. Iman yang sempurna akan mendorong kita melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Oleh itu seseorang yang tidak menyempurnakan tanggungjawab dalam memelihara hak wanita, bererti ia tidak sempurna imannya, walaupun sudah banyak amalan kebajikan dan ibadah yang dilakukannya. Bagi memastikan kaum lelaki memiliki iman dan takwa yang sempurna, marilah kita sama-sama menghormati hak kaum wanita. Kita melindungi mereka dan seterusnya kita menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh amanah bagi membahagiakan mereka. Kebahagiaan kaum wanita menjadi asas utama kepada kebahagiaan keluarga, masyarakat dan negara. Sabda Nabi Muhammad SAW:

Mafhumnya: “ Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya”.


(سورة آل عمران : 104)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...