Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah kita berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Kita laksanakan segala perintah-Nya dan kita jauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah yang bertajuk: “Benarkah Kita Mencintai Rasulullah SAW”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari ini, 12 Rabiul Awal 1431 bersamaan 26 Februari 2010 adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita sejak kira-kira 1,421 yang lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada baginda serta sunnah baginda, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada bersama kita. Nabi Muhammad adalah satu-satunya Rasul yang telah menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat baginda. Baginda telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; dan Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.
Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib di ambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:
Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.
Berdasarkan ayat tadi, Allah SWT menegaskan bahawa perintah mentaati Rasulullah SAW adalah bererti mentaati Allah SWT; dan mengingkari baginda bererti juga mengingkari Allah SWT.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang tidak boleh menganut Islam jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.
Selari dengan ikrar yang kita lafazkan dalam syahadah, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa semua ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW hendaklah dipatuhi dan diamalkan. Jika kita mengabaikan pelaksanaan perintah-perintah Allah dan suruhan Rasul-Nya, maka Allah akan jauh daripada kita. Ini bererti iman kita mulai lemah dan kelemahan iman ini memberi ruang kepada musuh Allah dan syaitan mendekati bahkan mempengaruhi kita dalam membuat keputusan.
Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
Persoalan besar timbul ialah bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW?. Ramai orang mengakui cinta kepada Rasulullah tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia untuk membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.
Para sahabat dalam membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dan sunnahnya telah sanggup berkorban nyawa, rela kehilangan harta kekayaan, anak-anak, ibubapa dan status diri, demi mempertahankan perjuangan suci bersama Rasulullah. Nama-nama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi para syuhada’ dan golongan solihin baik lelaki dan wanita telah membuktikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW.
Sidang Jumaat dan Umat Islam Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Setiap tahun umat Islam menyambut Maulidur Rasul dalam pelbagai bentuk. Kadangkala sambutan yang dibuat itu mendapat kritikan hebat kerana kualiti keberhasilan natijahnya iaitu sejauhmana sambutan ini dapat menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam, seolah-olah baginda masih hidup walaupun hampir satu setengah alaf telah meninggalkan kita.
Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. Hakikatnya sambutan Maulidur Rasul adalah suatu peringatan, suatu tazkirah yang bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzaariyat, ayat 55:
Maksudnya: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.”
Sirah baginda SAW ini hendaklah diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia. Sambutan yang diadakan bukan sekadar untuk bermain-main, bersenda gurau, atau mengisi masa kosong; tetapi lebih kepada mencapai suatu tugas yang perlu kita laksanakan, berbentuk amanah yang perlu kita tunaikan.
Bagaimana pun mimbar sangat kesal jika sambutan yang diadakan setiap tahun ini, tidak di hayati sepenuhnya dengan pengisian yang tepat oleh umat Islam. Bahkan lebih menyedihkan lagi ialah pada satu masa kita mengagongkan Rasulullah SAW dan pada masa yang lain pula kita bersifat talam dua muka, bertukar rupa dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:
Maksudnya: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Imam at-Tirmizi pula meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata:
“Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah, saya sangat kasih kepada-Mu, Ya Rasulullah”. Jawab Nabi SAW: “Perhatikan benar-benar perkataanmu itu”. Orang itu berkata: “Demi Allah, saya cinta kepadamu, Ya Rasulullah (di ulangi sehingga tiga kali)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan-kesusahan, persiapkan dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susahpayah), kerana kemiskinan-susahpayah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah-gaung yang dalam).
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang Jumaat, umat Islam dan ibu bapa sekalian, bimbinglah ahli keluarga kita dalam mempertingkatkan kasih sayang dan mencintai Rasulullah SAW supaya generasi Islam terus subur berpegang akidah dan berpegang kuat kepada ajaran Islam. Bagi menentukan sambutan Maulidur Rasul memberi keberhasilan yang tinggi kepada negara dan rakyat, maka terdapat lima petanda aras untuk menentukan kejayaannya iaitu:
Pertama: Pelaksanaan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.
Kedua: Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.
Ketiga: Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.
Keempat: Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan
Kelima: Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW.
Maksudnya: “Dan hari Kami bangkitkan di kalangan setiap umat, seorang saksi ke atas mereka, dari mereka sendiri; dan Kami datangkanmu untuk menjadi saksi terhadap mereka ini; dan Kami turunkan kepadamu Al-Qur'an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang Islam.” (Surah an-Nahl:89)
KHUTBAH KEDUA
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Seiring dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1431H, marilah kita tingkatkan ketaatan kita kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan sunnah-sunnahnya dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Kita bersyukur negara kita memberi perhatian berat kepada kewajipan memelihara aspek halal dan baik dalam isu-isu makan minum dan kepenggunaan barangan harian yang juga merupakan salah satu tuntutan sunnatur Rasul.
Justeru, pada hari ini, negara secara rasminya telah melancarkan Kempen 1 Malaysia 1 Halal yang disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Timbalan Yang Dipertuan Agong.
Program ini antara lain bertujuan menggalakkan masyarakat berusaha dalam membangunkan industri halal, menjadi pengguna bijak yang hanya memilih produk atau barangan halal sahaja dan mendidik masyarakat menjauhi sumber yang syubhat dan haram. Mimbar mengharapkan semua pihak dan sidang Jumaat sekalian, bersama-sama menjayakan hasrat murni ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-An’aam, ayat 142:
Maksudnya: “Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzab: 56)
No comments:
Post a Comment