Tuesday, February 16, 2010

GERHANA BULAN

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan dengan diri dan juga dengan sekalian jemaah agar kita benar-benar bertakwa kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan itu hidup kita di bawah lindungan Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Pada saat ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana matahari. Matahari yang bercahaya di siang hari penuh purnama secara tiba-tiba hilang cahayanya sedikit demi sedikit sehinggalah tiada lagi cahaya yang kelihatan. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat Qada’ dan Qadar.

Allah SWT berfirman di dalam al-Qur'an menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir Allah SWT. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan sebagaimana terdapat pada surah al-Fussilat ayat 37:

Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulantetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah”.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu, antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya tidak melampaui batas.

Rasulullah SAW pun bersabda yang mafhumnya:
"Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu" (Riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Gerhana bulan merupakan amaran Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan setia di atas titah perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNYA. Gerhana bulan adalah suatu peristiwa yang menakjubkan kepada seluruh umat manusia kerana secara tiba-tiba bulan kehilangan cahayanya. Sesungguhnya gerhana bulan akan berlaku tahun dari tahun sebagai peringatan Allah SWT di atas segala ketelanjuran dasar yang dilakukan sama ada disukai tau tidak kerana sampai satu ketika gerhana bulan yang tidak pulih dari gerhana dan bumi jua gerhana. Firman Allah dalam surah al-Qiyamah ayat 7-9:

Maksud: “ Maka apabila mata terbelalak(ketakutan), dan apabila bulan telah hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan”.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Mengikut cacatan sejarah gerhana bulan berlaku beberapa kali pada hayat baginda Rasulullah SAW. Manakala gerhana matahari terjadi di zaman Rasulullah SAW pada tanggal 10 Rabiul Awal tahun ke-8 hijrah. Gerhana matahari kebetulan berlaku sewaktu kematian putera baginda Rasulullah SAW iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari. Gerhana matahari terjadi sekali lagi pada 10 Muharram 61 hijrah sewaktu Saidina Hazim bin Ali dibunuh.

Ahli falak Islam yang masyhur dizaman silam, Imam al-Khawarizmi berpendapat setiap dua (2) jisim yang berdekatan itu mewujudkan kesan tarik menarik di antara satu sama lain, samada kuat atau pun lemah tarikan tersebut. Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi. Pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Hal ini juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Ummul mukminin Saidatina Aishah R.HA berkata Riwayat al-Nasai:

Mafhumnya: "Dan sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah dihadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: "Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis".

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Tinggalkanlah maksiat sekiranya kita telah terlanjur dan jauhi maksiat sekiranya belum terjebak. Ahmad dan Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafumnya: "Apabila berleluasa maksiat di kalangan umatku, nescaya Allah limpahkan azab di sisinya. Aku bertanya: Ya Rasulullah, sekiranya di kalangan mereka itu terdapatnya orang-orang soleh? Rasulullah SAW menjawab: Benar! Ummu Salamah bertanya: Kenapa orang yang soleh juga ditimpakan azab? Rasulullah SAW menjawab: Mereka ditimpakan azab bersama manusia yang lain kemudian mendapat keampunan Allah dan mendapat keredhaan-Nya".

Marilah kita berdoa kepada Allah semoga gerhana yang berlaku ketika ini tidak mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memungkinkan kesan kepada cuaca dan musim yang memberi kesan kepada perubahan tabii tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman serta kehidupan di dunia.

Rasulluah SAW bersabda:
لَوْ حَبَسَ الله تعالى الرِيْحَ ثَلاَثَا لأنتن مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ.
( أخرجه عبد الله بن احمد بن حنبل فى "زوائد الزهد ")

(KHUTBAH KEDUA)

Maksud: “Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan; dan untuk merasakan kamu dari rahmat-Nya, dan supaya kapal belayar laju dengan perintah-Nya, dan juga supaya kamu dapat menuntut kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur”.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan dengan diri saya dan juga sekalian yang hadir supaya kita benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dan menjunjung segala perintahnya dan menjauhi akan segala laranganNYA semoga dengan itu hidup kita di bawah lindungan Allah.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran ayat 46 surah ar-Rum bahawa disediakan kepada umat manusia di bumi Allah ini akan cuaca yang cukup selesa, aliran angin yang membawa berita dengan limpahan rezeki, kapal-kapal dengan muatan barang dagangan bergerak merentasi lautan menyuburkan lagi rezeki kurniaan Allah SWT untuk dinikmati bersama. Semoga dengan pelbagai habuan yang diperolehi itu, melahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini kita berhimpun dan berkumpul dengan penuh harapan agar doa, rayuan kita diterima Allah SWT. Semoga Allah memulihkan cuaca gerhana matahari yang kita saksikan sekarang ini, supaya kita terus sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah hendaknya. Berdoalah wahai saudara-saudaraku, semoga selepas perhimpunan ini bermulanya aliran angin yang membawa hujan dan aliran air yang mencukupi keperluan, cuaca dan peralihan musim yang lebih baik untuk dinikmati bersama.

Firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 36:

Maksudnya: "Maka Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya".

Mafhumnya: “Ya Allah ampunkanlah sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat samada yang masih hidup atau yang teal meninggal dunia”.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...