Tuesday, February 16, 2010

PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) IBU BAPA MENDIDIK ANAK

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita baru sahaja selesai menyambut Maal Hijrah iaitu tahun baru Islam 1431H dan hari ini pula kita mulai menempuh tahun baru 2010 Masehi. Bagi menentukan perancangan dan pelaksanaan aktiviti tahun baru kita diredhai Allah. Maka marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan menunaikan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Mudah-mudahan kehidupan kita dilimpahi rahmat dan kesejahteraannya. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk : “Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Ibu Bapa Mendidik Anak”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada akhir tahun dan awal tahun kebiasaannya pihak sekolah dan ibu bapa menjadi pihak yang paling sibuk kerana terlibat dalam urusan pendidikan. Menurut sumber Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009 terdapat 5.4 juta orang pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sementara itu pula, menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi pada sesi 2009/2010 yang lalu sebanyak 139,207 orang pelajar membuat permohonan untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam bagi memenuhi kekosongan berjumlah 68,084 tempat untuk program Ijazah dan 40,500 tempat untuk program Diploma di seluruh negara. Perangkaan ini memberi cabaran yang besar kepada ibu bapa dan anak-anak kita dalam merebut peluang pengajian.

Sebagaimana kita ketahui bahawa matlamat utama pengurusan pendidikan adalah untuk melihat manusia sebagai modal yang dinamakan modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara mahu pun kemajuan bangsa dan negara. Modal ini perlu digilap, dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuan sebelum dimanfaatkan. Kualiti hidup tidak sahaja diukur daripada memiliki ijazah dari dalam dan luar negara tetapi diukur juga dengan kekuatan akhlak dan peribadi yang menampilkan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti, maka kecemerlangan bidang pendidikan tidak hanya diberikan oleh pihak sekolah bahkan ia bergantung kepada ibu bapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu rumahtangga dan sekolah saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan anak-anak. Firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya:” Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Keluarga adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap keluarga berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam perut ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai akil baligh. Dengan demikian mimbar menasihatkan jemaah dan ibu bapa sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun.

Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah, hilang kemulian akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka.

Menurut Yusuf al-Qardawi, Tokoh Maal Hijrah 1431H bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.

Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat yang berjemaah bersama baginda kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka sukacita mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan sekurang-kurangnya 6 petunjuk prestasi utama atau KPI ibu bapa seperti berikut:

Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari sama ada secara berjemaah atau bersendirian,
Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari,
Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin setiap hari,
Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu,
Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak sekurang-kurangnya mencapai 80%, dan
Keenam: Mengadakan perjumpaan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran anak-anak.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ibu bapa cemerlang adalah mereka yang berjaya meletakkan generasi pewaris berjaya membentuk modal insan yang berkualiti soleh.
Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-An’am: 165)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...